2.1.10
INDIVIDU & MASYARAKAT
INDIVIDU DAN MASYARAKAT
Individu dan masyarakat merupakan dua unsur yang membina antara satu sama lain. Jika salah satu diabaikan maka pasti salah satu darinya akan terabai. Namun konsep individu lebih ditekankan kerana seseorang individulah yang membentuk sesebuah masyarakat. Malah, individu juga seharusnya dididik supaya mengenali serta membantu masyarakat di sekelilingnya. Setiap individu dalam sesebuah masyarakat tidak sepatutnya mengabaikan sifat kemasyarakatan dalam diri mereka sehingga boleh menumbuhkan sifat individualistik yang subur.
Oleh yang demikian, manusia seringkali bertelagah tentang persoalan bagaimana mewujudkan sebuah masyarakat yang baik. Islam sudah pun menjawab persoalan ini sejak sekian lama, namun, masih ada manusia-manusia yang menafikan keadilan sosial serta konsep masyarakat yang dibawa oleh Islam ini akibat keangkuhan dan pendustaan yang dibawa oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Maka, hari ini, timbulkan pelbagai maksiat atas pelbagai jenama.
INDIVIDU
Individu berasal dari kata latin individuum yang ertinya tidak terbahagi. Individu menekankan penyelidikan kepada kenyataan-kenyataan hidup yang istimewa dan mempengaruhi kehidupan manusia (Abu Ahmadi, 1991: 23).
Individu bukan bererti manusia sebagai suatu keseluruhan yang tidak dapat dibahagi, melainkan sebagi kesatuan yang terbatas, iaitu sebagai manusia perseorangan. Individu adalah seorang manusia yang tidak hanya memiliki peranan khas di dalam lingkungan sosialnya,melainkan juga mempunyai keperibadian serta pola tingkah laku spesifik dirinya.
Terdapat tiga aspek sebagai persepsi terhadap individu, iaitu
aspek jasmani, aspek rohani, dan aspek sosial yang bila terjadi kegoncangan pada suatu aspek akan membawa akibat pada aspek yang lainnya. Individu dalam tingkah laku menurut pola peribadinya ada 3 kemungkinan akan Menyimpang dari norma kolektif kehilangan individualitinya,selain itu ianya juga Takluk terhadap kolektif dan Mempengaruhi masyarakat
Individu adalah diri orang seorang. Sebelum masyarakat terbentuk lebih dahulu ada individu-individu. Allah menciptakan satu individu iaitu Adam. Kemudian dijadikannya individu kedua iaitu Hawa. Adam dan hawa menjadi suami isteri. Daripada 2 individu ini lahirlah individu lain dan proses yang sama terus berlaku pada generasi seterusnya. Dengan demikian bumi dihuni oleh manusia yang kian bertambah hingga kini.
DIRI MANUSIA SEBAGAI UJIAN
Tujuan manusia dijadikan oleh Allah hanyalah semata-mata untuk beribadat kepada-Nya. Namun umat Islam kini kurang memahami konteks ibadat yang dimaksudkan. Hanya menganggap ibadar ritual (solat,puasa dll). Ibadat merangkumi keseluruhan hidup manusia sejak dari azali hinggalah saat menemui pencipta kelak. Setiap amalan merupakan ibadat jika dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah tanpa menyekutukannya dengan makhluk lain.
Ibadat seorang manusia sebagai hamba kepada Allah juga merangkumi tanggungjawab sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Allah S.W.T untuk mentadbir alam dengan sebaiknya. Identiti seseorang itu tidak akan jelas tanpa adanya suatu masyarakat yang menjadi latar belakang keberadaanya. Individu berusaha mengambil jarak dan memproses dirinya untuk membentuk perilakunya yang selaras dengan keadaan dan kebiasaan yang sesuai dengan perilaku yang telah ada pada dirinya.
Manusia sebagai individu yang selalu berada di tengah-tengah kelompok individu yang sekaligus mematangkannya untuk menjadi peribadi yang prosesnya memerlukan persekitaran yang dapat membentuk peribadinya. Namun tidak semua lingkungan menjadi faktor kepada pembentukan peribadi tetapi ada kalanya menjadi penghalang proses pembentukan peribadi.
MASYARAKAT
Znaniecki berpendapat Masyarakat merupakan suatu sistem yang meliputi unit biofizik para individu yang mempunyai tempat tinggal pada suatu daerah geografi tertentu selama waktu tertentu dari satu generasi ke satu generasi. Dalam sosiologi suatu masyarakat dibentuk hanya dalam kesejajaran kedudukan yang diterapkan dalam suatu organisasi. Masyarakat merupakan istilah yang digunakan untuk menerangkan komuniti manusia yang tinggal bersama-sama. Boleh juga dikatakan masyarakat itu merupakan jaringan perhubungan antara pelbagai individu. Dari segi perlaksanaan ia bermaksud yang dibuat atau tidak dibuat oleh kumpulan itu
Oleh kerana sesebuah masyarakat yang inginkan kestabilan memerlukan ahli-ahli yang sanggup menolong antara satu sama lain, maka ia perlu kapada nilai-nilai murni seperti kerakyatan ,hak dan etika. Ia merupakan perkara asas untuk mencapai keadilan. Jika nilai-nilai ini gagal dipatuhi, orang akan mengatakan sesebuah masyarakat tersebut sebagai tidak adil dan musibah akan berlaku.
SOCIETY Perkataan Latin iaitu SOCIETAS
“ Perhubungan baik dengan orang lain”
Perkataan ini diambil dari socius yang bererti Teman, maka makna masyarakat itu adalah berkait rapat dengan apa yang dikatakan sosial. Ini bermakna telah tersirat dalam kata masyarakat bahawa ahli-ahlinya mempunyai kepentingan dan matlamat yang sama. Maka, masyarakat selalu digunakan untuk mengambarkan rakyat sesebuah negara.
BERMULANYA MASYARAKAT
Kehidupan manusia didunia ini bermula setelah adam dan hawa turun ke bumi. Sejak pertemuan semula adam dan hawa di Muzdalifah, manusia mula membentuk satu hubungan yang dinamakan masyarakat. Pertambahan kuantiti manusia yang mempunyai kepelbagaian pemikiran dan sifat peribadi mejadikan sistem sosial semakin lama semakin rumit. Maka, Allah mengutuskan Nabi dan Rasul sebagai penyampai ayat-ayatNya supaya manusia dapat membina hidup yang lebih baik serta mengingatkan mereka akan tujuan penciptaan mereka didunia ini.
INDIVIDU KOMPONEN UTAMA MASYARAKAT
Diri manusia iaitu individu merupakan komponen asas dalam masyarakat. Komponen asas inilah yang membentuk sistem sosial sesebuah masyarakat itu. Baiknya individu, maka akan baiklah masyarakatnya. Islam mengakui hakikat ini. Oleh itu ia menegah pemeluknya mengasingkan diri daripada masyarakat. Seseorang tidak dibenarkan menyendiri tanpa mengambil tahu dan tidak mencampuri masalah masyarakat. Setiap individu dijadikan mempunyai tanggungjawab bagi keselamatan masyarakatnya. Setiap manusia ditugaskan menyuruh kepada berbuat baik, dan menegah daripada berbuat jahat.Nabi mencela orang yang mengasingkan diri daripada masyarakat ramai. Sabdanya S.A.W:
“perpaduan itu kurnia dan perceraian itu siksa”
PENDAPAT ISLAM TENTANG INDIVIDU DAN MASYARAKAT.
Setiap peribadi yang ada didalam masyarakat telah diberi suatu ruangan yang didalamnya mereka dapat bergerak dengan bebas. Namun sungguhpun kepada peribadi itu diberi kemerdekaan yang luas untuk bertindak didalam batas ruangnya sendiri ia tidak diizinkan berbuat sesuka hati. Ia tidak dibenarkan menggunakan kebebasannya jika kebebasan tersebut menganggu kepentingan anggota masyarakatyang lain. Adalah wajib mencegah orang yang hendak membinasakan dirinya sendiri.
Masyarakat tidak dibenarkan campur tangan didalam soal-soal perseorangan. Selama soal perseorangan itu tidak menggangu masyarakat dan membinasakan diri sendiri. Juga menghilangkan hak-hak peribadi tidak dikehendaki oleh islam. Allah menjadikan manusia sebagai makhluk yang relatif dan merdeka.
Individu yang langsung tidak berbuat apa-apa tatkala keburukan dan kemungkaran berlaku didepan mata sebenarnya telah memilih untuk ‘berjuang’ membawa masyarakatnya ke arah masyarakat yang tidak baik. Sikap ini sudah pun sebati dalam kenbanyakan masyarakat barat hari ini. Sehingga sifat individualistik tertanam subur dalam kehidupan mereka.
Individu yang baik akan memilih untuk berjuang membawa masyarakatnya ke arah masyarakat yang baik. Pembaikan dalam masyarakat perlu dilakukan secara berterusan supaya tiada langsung ruang kecil yang boleh menumbuhkan unsur-unsur yang merosakkan sistem hidup sesebuah masyarakat. Pembaikan ini sewajarnya dilakukan bersama untuk memudahkan perjuangan dan merealisaikan tujuan kerana sesebuah masyarakat itu bukan hidup sebagai seorang individu sahaja.
TUGAS INDIVIDU DIDALAM MASYARAKAT
Tugas ini mesti dilaksanakan untuk keselamatan dan kesejahteraan masyarakatnya. Tiap-tiap anggota masyarakat bertanggungjawab atas keselamatan masyarakatnya. Setiap individu tidak dapat melepaskan diri daripada tugas terhadap masyarakat. Kerana tanggungjawab ini akan disoal kelak. Apakah kita dapat laksanakan sebagaimana yang telah ditetapkan.
Ketua negara dan pembesar-pembesar kerajaan ditugaskan memimpin rakyatnya. Suami ditugaskan untuk memimpin isteri dan keluarga.Khadam ditugaskan menjaga harta tuannya. Ketua negara umpamanya, kemanakah rakyat yang dipimpinnya itu dibawa. Apakah jalan menuju keredhaan atau sebaliknya. Semuanya akan disoal kelak.
INDIVIDU DIDALAM MASYARAKAT
Keseluruhan manusia di dunia adalah bersaudara. Mengikut pandangan islam persaudaraan antara umat manusia ialah persaudaraan yang di alami dan bukan dibuat-buat. Kerana itu manusia harus berbaik bukan berkelahi sehingga berlaku peprangan. Menurut islam tiada satu bangsa lebih tinggi daripada bangsa lain. Semua bangsa sama darjatnya kerana itu islam tidak dapat membenarkan penguasaan sesuatu bangsa ke atas bangsa lain
MASYARAKAT SEBAGAI INDIVIDU
Nasib sesebuah masyarakat itu bergantung kepada bagaimana individu-individu didalamnya. Perubahan-perubahan yang dilakukan oleh mereka sendiri. Masyarakat harus dipandang sebagai satu individu dimana kerosakan atau kebaikan seseorang didalamnya akan sama-sama dirasai oleh masyarakat tersebut. Individu didalam masyarakat perlu dianggap sebagai tangungjawab yang wajib dipikul bersama.
Piagam madinah yang dibuat setelah peristiwa hijrah merupakan konsep kestabilan sistem sosial masyarakat dalam Islam yang paling tulen. Piagam bertulis yang pertama didunia ini antaranya menyebut tentang hak kesamarataan yang nyata dalam sahifah.
KESIMPULAN
Islam sangat menekankan persoalan kemasyarakatan yang sejahtera melalui keterangan dalam al-quran dan al-sunnah. Setiap individu dalam masyarakat seharusnya membawa kembali kefahaman manusia terhadap Islam dengan cara yang benar. Hanya dalam proses keilmuan Islam ini sahaja yang dapat membentuk sebuah sistem sosial masyarakat yang bersepadu menuju ke arahNya. Usaha pegembalian kefahaman ini perlu dilakukan bersama-sama oleh setiap umat Islam dalam memandu masyarakat ke arah kehidupan diredhainya. Pemikiran sempit yang mentafsir Islam sebagai ritual atau politik semata harus di buang. Usaha ini bukan mudah, tetapi tidak mustahil kerana Allah adalah kekuatan utama umat Islam.